Aruwin catat keputusan memberangsangkan
PELUNCUR ski negara Aruwin Idami Salehhuddin mencatatkan keputusan memberangsangkan pada debutnya di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing apabila menamatkan perlumbaan kedua (Run 2) bagi acara Giant Slalom Wanita Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing pada kedudukan ke-38 dengan catatan masa 2 minit 12:28 saat di Xiaohaituo Alpine Skiing Field, pada Isnin.
Catatan masa berkenaan dilihat agak jauh berbeza berbanding catatan 1 minit 06:13 saat yang dicatatkan Aruwin pada Run 1 dan menyaksikannya berada di kedudukan ke-46 daripada 60 peluncur.
Bagaimanapun, hanya 49 peserta berjaya menamatkan Run 2 bagi acara Giant Slalom Wanita berkenaan dan kedudukan peluncur berusia 17 tahun itu dilihat agak baik untuk beraksi pada acara Slalom Wanita dijadualkan berlangsung pada Rabu.
Acara Giant Slalom Wanita itu dimenangi peluncur Sweden, Sara Hector dengan catatan masa 1 minit 55.69 saat diikuti peluncur Itali, Federica Brigone yang meraih perak dengan catatan masa 1 minit 55.97 saat dan peluncur Switzerland, Lara Gut-Behrami (gangsa, 1 minit 56.41 saat).
Dalam pada itu, juara bertahan yang juga pemegang pingat emas, Mikaela Shiffrin dari Amerika Syarikat, tersingkir daripada acara berkenaan apabila gagal menamatkan perlumbaan setelah terjatuh pada Run 1.
Untuk rekod, Aruwin merupakan atlet wanita pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara Jeffrey Webb yang membuat penampilan pada temasya Olimpik Musim Sejuk selepas PyeongChang 2018 lalu, dijadualkan beraksi bagi acara Slalom Lelaki pada 16 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!