SPRM ambil dokumen penting di pejabat Mara
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa lebih tiga jam melakukan pemeriksaan di pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini pada Isnin.
Menurut sumber, seramai empat pegawai SPRM hadir ke pejabat Mara bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan isu integriti dan salah guna kuasa.
"SPRM menyerbu pejabat Mara pada jam 10.30 pagi, pegawai berkenaan dipercayai membawa keluar beberapa buah beg dipercayai berisi dokumen untuk siasatan lanjut," katanya.
SPRM dalam satu kenyataan pada Sabtu menyatakan pihaknya memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan yang sedang disiasat secara dalaman oleh Mara.
Agensi itu menjelaskan, mereka juga sudah terima satu aduan berkaitan isu itu dan akan memulakan siasatan hari ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation.
Siasatan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Media pada Ahad melaporkan lima pegawai Mara yang dikaitkan itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.
Semua mereka menafikan terbabit dalam perbuatan salah guna kuasa seperti yang dilaporkan dalam satu dokumen yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan turut mendakwa individu yang menandatangani dokumen berkenaan melakukan fitnah terhadap mereka.
Seorang daripada mereka dalam laporannya, turut mendakwa mengesyaki individu yang menandatangani dokumen itu cuba mengalih perhatian Pengerusi Mara terhadap isu salah guna kuasa yang dilakukannya sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!