Mara beri kerjasama untuk SPRM jalankan siasatan
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan MARA Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memulakan siasatan ke atas pegawai MARA yang dikaitkan dengan dakwaan isu integriti.
Pengerusi Mara Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya telah menerima kunjungan sepasukan pegawai SPRM untuk melakukan siasatan pada Isnin.
"Pengurusan Mara dan Mara Corp sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes ini untuk siasatan pihak SPRM," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azizah memaklumkan pihaknya sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi itu terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam.
Pada Isnin, media melaporkan SPRM sudah memulakan siasatan termasuk mengumpul beberapa dokumen penting berhubung salah guna kuasa dan dijangka memanggil beberapa individu termasuk saksi bagi memberi keterangan.
SPRM dalam satu kenyataan pada Sabtu menyatakan pihaknya memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan yang sedang disiasat secara dalaman oleh MARA.
Agensi itu menjelaskan, mereka juga sudah terima satu aduan berkaitan isu itu dan akan memulakan siasatan hari ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation.
Siasatan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!