Bekas pengarah kolej ditahan SPRM disyaki buat tuntutan palsu

Karunanithy
Karunanithy
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai membuat tuntutan palsu bernilai lebih RM300,000, pada Isnin.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi.

Menurut sumber, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu sekitar tahun 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan bernilai lebih RM300,000.

Tuntutan itu membabitkan tiga program dilaksanakan di kolej berkenaan dan suspek dipercayai membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menamatkan kursus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, tiada permohonan reman terhadap suspek dan dia dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama selepas selesai memberi keterangan.

"Jaminan ditetapkan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin. Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh ditetapkan kemudian," katanya.

Sebelum itu, Karunanithy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!