Lapan jam pemeriksaan Mara Corporation, satu kotak dibawa pulang

Pegawai SPRM meninggalkan bangunan Menara Mara pada jam 6.55 petang.
Pegawai SPRM meninggalkan bangunan Menara Mara pada jam 6.55 petang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat keluar dari pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) Corporation bersama satu kotak mengandungi dokumen tepat jam 6.55 petang pada Isnin.

Pegawai berkenaan mengambil masa lebih lapan jam melakukan pemeriksaan di pejabat terletak di tingkat 20 Menara Mara.

Difahamkan pegawai berkenaan tiba di pejabat berkenaan sekitar jam 11 pagi bagi menyiasat dokumen-dokumen penting berhubung isu integriti melibatkan pegawai Mara.

Selain pejabat berkenaan, SPRM turut melakukan serbuan di dua lokasi lain termasuk di Jalan Mara dan Bukit Bintang secara serentak bagi memulakan siasatan berkenaan isu itu.

Di Bukit Bintang pemeriksaan selesai sekitar jam 1.30 petang selepas dua jam masa diambil melakukan pemeriksaan di pejabat setiausaha Mara.

Dalam serbuan itu, sebuah kotak dipercayai mengandungi dokumen dibawa keluar dari pejabat berkenaan oleh dua pegawai SPRM.

Sementara di pejabat di Jalan Mara serbuan selesai sekitar jam 3.30 petang dan pegawai terlibat dipercayai membawa keluar beberapa buah beg dipercayai berisi dokumen untuk siasatan lanjut.

Pada Jumaat, sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter.

Artikel Berkaitan:

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

Pada Ahad, media melaporkan lima pegawai Mara yang dikaitkan isu berkenaan telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!