RM11.7 juta diperuntuk bina bangunan baharu Maahad Ahmadi
TAMPIN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM11.7 juta untuk pembinaan bangunan baharu di Sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi, Gemencheh dekat sini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan itu bertujuan menggantikan bangunan lama berusia hampir 50 tahun bagi membolehkan pelajar dan guru dapat meneruskan pembelajaran dalam infrastruktur pendidikan moden serta kondusif.
Beliau berharap sekolah diasaskan pada 1975 itu terus kekal berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu, bahasa dan kebudayaan Islam di negara ini supaya selari dengan usaha yang dicetuskan oleh beberapa tokoh agama di negeri ini dalam membangunkan sekolah tersebut.
"Pembinaan ini bermula November tahun lepas dan dijangka siap pada November 2023. Ia melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, surau, serta bangunan akademik setingkat.
"Selain itu, projek ini juga melibatkan pembinaan dataran kejat, pintu pagar utama, pagar perimeter, laluan pejalan kaki berbumbung, kerja pembinaan jalan serta sistem retikulasi air, saliran dan kumbahan," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Meroboh dan Membina Sebahagian Bangunan di sini pada Isnin.
Katanya, terdapat bangunan sokongan akan dibina termasuk melibatkan pembinaan rumah pam dan rumah sampah.
Aminuddin berkata, sekolah tersebut juga merupakan satu-satunya sekolah di bawah kerajaan Negeri Sembilan yang masih mengekalkan sistem sanawi, menghafaz al-Quran dan menggunakan bahasa Arab serta bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!