Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir di Pitas meningkat kepada 386 orang daripada 117 keluarga setakat jam 8 malam ini, berbanding 313 orang daripada 96 keluarga petang Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan, satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,menjadikan keseluruhan empat PPS beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir setakat ini.

PPS tersebut ialah Dewan Kampung Sinukab yang menempatkan 73 mangsa daripada 21 keluarga, manakala tiga PPS lain masing-masing Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II kekal menempatkan 108 mangsa daripada 41 keluarga; Dewan SK Rukom (132 mangsa daripada 35 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 mangsa daripada 20 keluarga).

Semua PPS diaktifkan bagi menempatkan penduduk dari lapan kampung di Pitas yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak Ahad.

Kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!