Hentikan spekulasi konspirasi kerajaan
MELIHAT kepada trend peningkatan kes harian Covid-19 yang mencecah sehingga lima angka sejak Ahad, pelbagai spekulasi mula timbul dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat.
Bermula dengan peningkatan 10,089 kes pada Ahad, angka itu seakan tidak mahu ‘mengalah’ apabila melonjak kepada 11,034 seperti dilaporkan pada Isnin.
Justeru, ramai yang menjangkakan sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau seumpamanya akan diumumkan tatkala umat Islam bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam tempoh tidak kurang empat bulan sahaja lagi.
Tidak kurang juga ada segelintir warganet yang mendakwa kerajaan sengaja ‘mencipta’ angka kes harian yang tinggi bagi menghalang rakyat menyambut Aidilfitri.
Namun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, varian Omicron yang melanda Malaysia ketika ini bukan konspirasi yang sengaja dicipta sebaliknya penularan wabak itu berlaku di seluruh dunia.
“Singapura melaporkan lebih 13,208 kes baharu jangkitan Covid-19 pada 4 Februari, tiga kali ganda berbanding hari sebelumnya.
“Pada 5 Februari, Korea pula melaporkan kes harian sebanyak 38,670, Indonesia (33,729), Thailand (10,879), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985) dan Jepun 102,275 kes,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 sehari menjelang akhir Mac ini sekiranya bacaan kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (Ro) kekal 1.2 hingga hujung bulan depan.
Pada hari ini pula jam 9.30 pagi, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah-langkah pemulihan negara sekali gus dijangka membuat beberapa pengumuman baharu berhubung perkembangan prosedur operasi standard (SOP) terkini.
"MPN perlu pastikan negara mampu menghadapi proses pemulihan dengan sebaik mungkin dalam jangka masa yang tidak terlalu panjang,” katanya pada Isnin.
Justeru, sama-samalah kita nantikan apakah pengumuman terbaharu daripada MPN hari ini dan masyarakat diharap tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan ‘konspirasi kerajaan tak bagi sambut raya’ kerana dianggap sensitif bagi sesetengah pihak.
Apa yang lebih penting kini adalah kebertanggungjawaban kita sebagai masyarakat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan KKM sebagai usaha mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!