Lelaki kongsi video serangan pengganas di NZ gagal dapat ikat jamin

Pita keselamatan polis diletakkan di lokasi insiden serangan pengganas yang menyasarkan dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu. - Foto AFP
Pita keselamatan polis diletakkan di lokasi insiden serangan pengganas yang menyasarkan dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu. - Foto AFP
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Permohonan ikat jamin seorang warga New Zealand yang dituduh mengongsikan rakaman video secara langsung serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch Jumaat lalu, ditolak pihak mahkamah.

Menurut polis, remaja berusia 18 tahun yang tidak boleh dinamakan itu, tidak terlibat dalam serangan yang dilakukan pengganas warga Australia, Brenton Tarrant yang mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan berpuluh yang lain.

Hadir ke Mahkamah Daerah Christchurch hari ini, permohonan ikat jamin tertuduh ditolak Hakim Stephen O'Driscoll, namun butiran disebalik keputusan tersebut tidak disiarkan.

Tertuduh dijangka hadir semula ke mahkamah pada April depan.

Remaja terbabit berdepan tuduhan mengongsikan rakaman secara langsung serangan tersebut dan memuat naik gambar salah satu masjid yang menjadi sasaran serangan berserta kapsyen 'target acquired' selain beberapa mesej yang menghasut keganasan melampau.

Jika didapati bersalah, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Sementara itu laman Facebook berkata, dalam tempoh 24 jam pihaknya telah menyekat 1.5 juta video serangan di masjid Christchurch. - AAP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!