Agong zahir penghargaan kerajaan naik taraf hidup warga kota

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghargai komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kejayaan inisiatif berteraskan prinsip menjaga kebajikan, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat di Wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda juga menyambut baik program pembangunan usahawan anak muda kota Wilayah Persekutuan misalnya, yang berjaya memberi impak dalam meningkatkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan pascapandemik Covid-19.

"Selain itu, bantuan kepada golongan miskin di 178 kawasan perumahan rendah dan sederhana di Kuala Lumpur telah membantu dalam meringankan kos hidup ditanggung golongan miskin bandar," titah Seri Paduka Baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di sini pada Selasa.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Turut hadir Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Semasa menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik komitmen menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah sejahtera dan mapan untuk didiami semua golongan menerusi agenda penyediaan perumahan mampu milik.

Seri Paduka Baginda bertitah, inisiatif Residensi Prihatin Keluarga Malaysia dan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia merupakan antara inisiatif bakal membantu warga Wilayah Persekutuan dan golongan B40 dan M40 memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.

Titah Seri Paduka Baginda, usaha membangunkan infrastruktur berkualiti dan menyeluruh serta pembangunan semula kawasan usang dan ketinggalan bakal merencanakan Wilayah Persekutuan yang lebih segar, ceria dan berdaya huni.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal itu, Seri Paduka Baginda berharap pembangunan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar bertaraf dunia menjelang 2030 dan pelaksanaan bandar rendah karbon akan dapat direalisasikan.

Seri Paduka Baginda juga berharap cadangan pembinaan jambatan menghubungkan pulau Labuan dengan tanah besar Sabah, yang pada hemat baginda boleh menjadi pemangkin pesat ekonomi di kedua-dua sempadan wilayah tersebut.

Dalam titah Seri Paduka Baginda pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini sehingga mendatangkan pelbagai kesulitan kepada rakyat selain membawa kesan kepada sektor ekonomi yang baru beransur pulih.

Justeru, Seri Paduka Baginda menyeru kerajaan agar merangka satu solusi jangka panjang dan juga memperkasa mekanisme pengurusan bencana.

Seri Paduka Baginda bertitah, bandar raya Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang merupakan pusat kepada ekonomi dan kewangan negara perlu mempunyai pelan kontingensi terancang dalam menghadapi banjir.

Namun di sebalik musibah banjir itu, Seri Paduka Baginda amat terharu dengan semangat setiakawan dan saling membantu yang dipamerkan rakyat ketika bencana tersebut.

“Pelbagai pihak dan orang perseorangan telah tampil menghulurkan bantuan.

“Sesungguhnya sikap murni seperti inilah yang menjadi kayu pengukur akan rasa saling sayang menyayangi serta perpaduan erat oleh seluruh rakyat beta yang merentasi darjat mahupun bangsa, agama dan fahaman politik," titah Seri Paduka Baginda. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!