Mampukah Alvarez ikut gaya permainan Guardiola?
BEKAS penyerang sensasi Manchester City, Sergio Aguero mengakui dia tidak dapat membayangkan bagaimana pemain baharu The Citizens, Julian Alvarez mampu menyesuaikan diri dengan gaya permainan Pep Guardiola.
Biarpun penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester City tersebut memuji bintang River Plate berusia 22 tahun itu, yang menandatangani perjanjian untuk berpindah ke Etihad pada musim panas ini.
"Secara jujur saya tidak jelas di posisi mana Julian akan digunakan oleh Guardiola yang kadang-kadang tidak bermain mengunakan penyerang.
“Julian bagus, sangat bagus. Saya berkawan baik dengan dia. Masa kami bersama dalam pasukan kebangsaan Argentina, kami akan sentiasa ketawa.
“Dia bertanya kepada saya sesuatu dan sebagai penyerang saya akan memberitahunya pengalaman saya walaupun jelas selepas itu dia membuat keputusan," katanya.
Tambah Aguero lagi, dia bimbang sekiranya Alvarez kehilangan rentak cemerlang seperti ketika bersama River Plate apabila menyertai Manchester City.
“Saya suka Julian sebagai pemain tetapi kita perlu lihat bagaimana mereka akan menggunakan dia di City. Saya tidak tahu sama ada dia akan membiasakan diri bermain sebagai penyerang tengah nombor sembilan kerana saya fikir dia seorang yang suka bergerak.
“Secara peribadi saya akan meletakkan dia di hadapan dan membiarkannya berkeliaran dan memutuskan barisan lawan kerana dia seorang yang sangat aktif, sebolehnya saya mahu dia sebagai penyerang dalam atau pemain tengah atau pemain sayap menyerang.
“Masalah sekarang Manchester City acuan Pep Guardiola tidak menggunakan penyerang," katanya.
Aguero yang mengumumkan persaraannya pada Disember lalu kerana masalah jantung kini berada di Argentina selepas menghabiskan karier bermainnya hanya lima perlawanan untuk Barcelona.
Manchester City yang kini memimpin Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan sembilan mata akan menerima kunjungan Brentford di Stadium Etihad pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!