Siap siaga depani serangan siber
SHAH ALAM - Orang ramai digesa untuk sentiasa bersiap siaga dalam mendepani ancaman dan serangan siber yang semakin berleluasa di sebalik evolusi teknologi digital yang membantu serta memudahkan urusan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana keruntuhan moral, akhlak dan nilai murni dalam komuniti Keluarga Malaysia juga semakin meruncing akibat daripada kealpaan individu.
"Justeru, sebagai Keluarga Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama membina komuniti digital yang berdaya tahan serta berupaya bertindak secara berilmu, adil dan progresif ke arah kesejahteraan siber.
"Saya juga ingin menggesa seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama membulatkan tekad untuk menjadi warga digital yang beretika dan berintegriti dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sempena Hari Keselamatan Internet 2022 yang disambut pada bulan Februari setiap tahun.
Annuar dalam pada itu berkata, Hari Keselamatan Internet-Edisi Malaysia bermula pada tahun 2010.
"Pelbagai tema diperkenalkan berdasarkan senario siber semasa yang disesuaikan mengikut trend ancaman dan isu-isu keselamatan siber di Malaysia.
"Tahun ini tema Hari Keselamatan Internet 2022-Edisi Malaysia ialah 'KITA Siber' bermaksud K-Komunikasi; I-Inklusif; T-Tanggungjawab dan A-Akrab," katanya.
Katanya, melalui tema ini, penekanan diberi secara konsisten kepada langkah-langkah membentuk sikap kawalan kendiri serta kebertanggungjawab ke atas diri sendiri serta orang lain bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia yang sejahtera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!