Lebih 50 peratus penduduk dewasa Kedah sudah ambil dos penggalak

Gambar hiasan. (Gambar dalam) Datuk Dr Mohd Hayati Othman
Gambar hiasan. (Gambar dalam) Datuk Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa negeri ini yang layak akan mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum sambutan Aidilfitri pada Mei ini.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kesedaran rakyat di negeri ini tinggi apabila lebih 50 peratus individu dewasa sudah pun mengambilnya sebagaimana disaran kerajaan.

Menurutnya, kerajaan negeri menyarankan individu yang masih belum mendapatkan suntikan dos penggalak agar segera melakukannya dalam usaha mencegah gelombang varian Omicron yang sedang merebak di negara ini.

"Alhamdulillah, ramai juga yang menyambut seruan untuk mendapatkan dos penggalak ini (di Kedah). Saya periksa sekitar 50 hingga 60 peratus telah mendapatkannya.

"Nak jamin semua rakyat Kedah akan ambil dos penggalak ini memang tidak dapat. Tapi tengok kepada sambutan itu, kalau dapat sekitar 70 hingga 80 peratus adalah membanggakan (sebelum sambutan Aidilfitri)," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini pada malam Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menggalakkan rakyat untuk mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai perlindungan tambahan kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi.

Khairy Jamaluddin menjelaskan, Malaysia kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 bakal mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, orang ramai boleh melihat kepada contoh kes jangkitan Covid-19 di Sarawak semakin berkurangan sejak empat bulan lalu berikutan sambutan pengambilan dos penggalak yang baik oleh rakyat di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kes jangkitan di Kedah pula membabitkan 1,448 orang pada Isnin yang mana majoritinya kita percaya adalah kes jangkitan varian Omicron. Varian ini memang cepat berjangkit.

"Cuma satunya kita bernasib baik kerana kes yang serius membabitkan kategori 3,4 dan 5 adalah kurang. Kebanyakannya adalah kes kategori 1 dan 2. Mereka ini dikuarantin di rumah," ujarnya.

Tambahnya, jumlah katil bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital-hospital Kedah juga belum berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kes-kes serius yang masih kurang di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!