Kadar pengangguran negara semakin rendah

Sektor tenaga buruh negara semakin baik pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 orang. - Gambar hiasan
Sektor tenaga buruh negara semakin baik pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 orang. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sektor tenaga buruh negara semakin baik pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 orang, manakala guna tenaga terus meningkat, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, menjelang akhir tahun 2021, kebanyakan negeri telah berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi seperti biasa sekali gus mendorong kedudukan tenaga buruh untuk pulih secara sederhana.

"Hal ini telah memacu guna tenaga untuk terus mengalami pertumbuhan yang lebih baik pada Disember 2021 sementara pengangguran terus menurun," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Disember dan Suku Keempat 2021 yang diterbitkan pada Selasa.

Mohd Uzir berkata, pada Disember 2021, penduduk bekerja terus meningkat dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang daripada 15.61 juta orang pada November.

Menurutnya, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1 peratus berbanding pada November 2021 iaitu 66.0 peratus.

Katanya, bilangan penganggur terus menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 687,600 orang berbanding pada November 2021 berjumlah 694,400 orang.

"Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat kepada 69.0 peratus iaitu KPTB tertinggi yang direkodkan sejak Januari 2020 dengan bilangan tenaga buruh pada Disember 2021 meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.34 juta orang.

"Situasi ini memberi isyarat bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh sekali gus mendorong mereka untuk mencari pekerjaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir berkata, sepanjang tahun 2021, pasaran buruh negara kekal dalam situasi yang mencabar susulan krisis kesihatan yang berpanjangan.

Katanya, berdasarkan data purata bulanan, KPTB pada 2021 meningkat 0.2 peratus kepada 68.6 peratus berbanding 68.4 peratus pada tahun 2020.

Tambahnya, bilangan penduduk bekerja juga mencatatkan peningkatan sebanyak 3.0 peratus kepada 15.4 juta orang berbanding pada tahun 2020 iaitu 15.0 juta orang.

"Peningkatan guna tenaga adalah disebabkan oleh bilangan penduduk bekerja yang rendah pada tahun 2020. Pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial menjelang separuh tahun kedua tahun tersebut juga turut menyumbang kepada pertumbuhan dalam guna tenaga.

"Selain itu, usaha melawan pandemik terus berpandangan dalam tahun 2021. Justeru, menyebabkan pasaran buruh kekal dalam situasi yang mencabar sekali gus mempengaruhi bilangan penganggur untuk terus meningkat bagi tahun kedua kepada 741,400 orang," katanya.

Beliau dalam masa yang sama menyatakan bahawa kadar pengangguran pada tahun 2021 naik kepada 4.6 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun 2020 yang mana kadar pengangguran tertinggi sejak tahun 1993.

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh, Mohd Uzir berkata, di Malaysia kesan daripada pandemik ini menyebabkan pemulihan ekonomi sedikit terganggu dan ia turut menjejaskan pemulihan semula keseluruhan pasaran buruh memandangkan pemulihannya berkadar terus dengan prestasi ekonomi.

Menurutnya, dengan semua negeri berada dalam Fasa Empat PPN bermula Januari 2022 telah membolehkan aktiviti perniagaan dan sosial beroperasi pada kapasiti penuh.

Tambahnya, pembukaan sesi persekolahan pada 9 Januari 2022 dijangka memberi lebih banyak impak positif terhadap aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.

"Perkembangan positif ini memberi isyarat bahawa pasaran buruh dijangka akan terus bertambah baik pada bulan-bulan yang akan datang, namun tidak mengambil kira cabaran varian baharu dan lebih berbahaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!