[VIDEO] Kelantan mahu popularkan Senaman Tua
Mohd Amar berkata, senaman yang mengandungi sukatan seperti Nafas Melayu; Tapak Sembilan, Jengket, Labuh Luar, Labuh Dalam, Temu Tempurung, Tari Inang, Naga Berlabuh, Duduk Pendekar, Geliat Anak Harimau, Gulung Ekor Naga dan banyak lagi itu merupakan amalan rahsianya kekal cergas.
"Saya sudah amalkan ST sejak menjadi Exco Kerajaan Negeri lagi. ST ini amat sesuai dengan usia saya kerana dilakukan secara santai dan ia merupakan warisan bangsa Melayu.
"Melihat kepada perkara itu, saya telah berbincang dengan guru utama ST iaitu Dr Azlan Ghanie untuk mengadakan himpunan di Kota Bharu dalam usaha mempopularkan senaman ini kepada masyarakat," katanya semasa ditemui pemberita selepas melakukan senaman itu di Masjid Sembilan Wali di sini pada Selasa.
Menurutnya, hasil perbincangan bersama Dr Azlan mendapat respon positif namun hasrat itu terpaksa 'ditangguhkan' kerana serangan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, senaman ini sesuai untuk diamalkan semua peringkat umur kerana ia amat baik untuk kesihatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, setiap kali lepas menunaikan solat beliau akan membuat beberapa langkah yang terdapat dalam ST.
"Senaman ini nampak lembut namun ia mampu membuatkan tubuh menjadi lebih segar.
"Selain pemakanan, inilah rahsia saya kekal cergas dalam melaksanakan tugasan harian sebagai pemimpin," katanya.
Menurutnya, ST dilakukan secara berkumpulan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
Sementara itu, Mohd Firdaus Ab Rahman yang merupakan jurulatih bertauliah berkata, ST mampu melancarkan perjalanan darah sekaligus membuatkan seorang itu menjadi lebih segar.
"Selain itu, gerakan yang terdapat dalam ST mampu 'menghidupkan' sendi-sendi tulang kita dengan baik sekali gus memudahkan urusan harian.
"Menurut pengasas (Dr Azlan) ST adalah gerak pemanas badan sebelum masuk ke gelanggang silat dan berasal dari Istana Pahang. Namun disebabkan ada yang tidak minat kepada silat ia telah dipecahkan kepada dua bahagian sebagai senaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!