Trudeau gesa pemandu trak tamatkan protes antivaksin
OTTAWA - Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menggesa protes selama 10 hari oleh pemandu trak dihentikan segera kerana ia memburukkan lagi situasi pandemik Covid-19 di negara tersebut.
Ibu kota Kanada, Ottawa ketika ini lumpuh selepas pemandu trak berhimpun bagi membantah peraturan vaksin mandatori.
Protes yang mencetuskan kemarahan penduduk akibat bunyi hon itu memaksa Datuk Bandar, Jim Watson mengisytiharkan darurat selepas menyifatkan penunjuk perasaan bertindak di luar kawalan.
"Ia harus dihentikan," kata Trudeau semasa perbahasan tergempar di Parlimen.
Bagaimanapun beliau tidak menghuraikan langkah yang mungkin dirancang bagi menghentikan protes berkenaan.
'Freedom Convoy' atau Konvoi Kebebasan bermula pada 9 Januari lalu sebagai gerakan menentang keperluan vaksin di Kanada bagi pemandu lori rentas sempadan.
Namun kemudian bertukar menjadi perhimpunan menentang langkah kesihatan awam dan kerajaan pimpinan Trudeau.
Penganjur konvoi sebelum ini memaklumkan, mereka tidak akan bersurai sehingga arahan mewajibkan vaksin dibatalkan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!