'Bangsa Johor akan dihidang fitnah, propaganda sempena PRN'
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.
Katanya, gerak kerja fitnah ala Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sedang diulangi dan modus operandi yang sama menjadikan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.
"Daripada fitnah berhubung teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.
"Percayalah, itu cuma mukadimah. Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun menambah, mungkin pada kali ini ada hikmah di sebaliknya tentang perkara terbabit kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan.
Katanya, rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca.
"Dan tidaklah mereka itu hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan. Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa.
"Tidak mereka peduli kesan buruk politik fitnah dan adu domba terhadap rakyat dan negara demi memuaskan serakah dan kesumat.
"Mereka akan bergerak dengan full throttle (sepenuhnya) untuk PRN Johor kerana begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN," katanya sambil tidak mendedahkan siapa pihak yang dimaksudkan itu.
Ahmad Zahid berkata, muslihat yang dibuat juga pastinya akan gagal sekiranya Bangsa Johor yang berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.
"Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!