Ulama hadis ternama Mesir jadi felo hadis di UnIPSAS

Sheikh Dr. Abdel Karim (kanan) menerima watikah pelantikan felo akademik hadis daripada Saiful Edris (tengah) sambil diperhatikan Mohd Zawavi pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2020 Unipsas dan Penyampaian Watikah Pelantikan Felo Hadis Unipsas di Auditorium UnIPSAS di sini pada Selasa.
Sheikh Dr. Abdel Karim (kanan) menerima watikah pelantikan felo akademik hadis daripada Saiful Edris (tengah) sambil diperhatikan Mohd Zawavi pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2020 Unipsas dan Penyampaian Watikah Pelantikan Felo Hadis Unipsas di Auditorium UnIPSAS di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seorang ulama hadis ternama dari Mesir, Dr. Abdel Karim Elsayed Elbadawi Ahmed Soliman Al-Nadawi dilantik sebagai felo akademi hadis di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) bagi tempoh setahun.

Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, UnIPSAS adalah universiti Islam pertama di Pahang dan Pantai Timur melantik beliau sebagai felo hadis di bawah Akademi Hadis UnIPSAS.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat berdasarkan kepakaran yang dimiliki dan beliau merupakan ilmuan hadis yang terkenal di dunia.

“Syeikh Dr. Abdel Karim adalah seorang ulama tersohor dunia dan amat pakar dalam bidang hadis dan kita (UnIPSAS) melantik beliau sebagai felo kanan hadis atas kapasiti bidang tujahan di universiti termasuklah bidang hadis seperti mana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Beliau (Dr. Abdel Karim) ditugaskan mengasaskan dan memantapkan akademi hadis, menjadi tempat rujukan, menyampaikan ilmu serta menasihati UnIPSAS dari segi aktiviti berkaitan hadis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2020 Unipsas dan Penyampaian Watikah Pelantikan Felo Hadis UnIPSAS di Auditorium universiti itu di sini pada Selasa.

Hadir sama, penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Datuk Saiful Edris Zainuddin bagi mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak.

Dr Mohd Zawavi menjelaskan, semua warga UnIPSAS berbesar hati dengan pelantikan Sheikh Dr. Abdel Karim kerana mahu berkhidmat di universiti ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setakat ini, Sheikh Dr. Abdel Karim tidak pernah menjadi mana-mana felo di mana-mana institusi di Malaysia.

“Kita bersyukur sangat sebab ramai yang nak khdimat Sheikh Dr. Abdel Karim ini tapi beliau memilih UnIPSAS dan negeri Pahang.

"Kerajaan Pahang juga telah memperuntukkan RM130,000 bagi perbelanjaan Sheikh Dr. Abdel Karim selama satu tahun ini," ujarnya.

Pada masa kini, UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian pada peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana melibatkan tiga Fakulti Pengajian iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik, dan Fakulti Pengajian Bahasa Dan Asasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!