Mayat berusia lebih dua tahun ditemui

Mayat Beretta (gambar kecil) ditemui dalam keadaan sedang duduk di kediamannya dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak September 2019. - Foto Agensi
Mayat Beretta (gambar kecil) ditemui dalam keadaan sedang duduk di kediamannya dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak September 2019. - Foto Agensi
A
A
A

ROM - Mayat seorang wanita berusia 70 tahun di Itali dalam keadaan sedang duduk dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak lebih dua tahun lalu akhirnya ditemui pihak berkuasa.

Penemuan menggemparkan mayat Marinella Beretta itu dibuat di kediamannya di Prestino berhampiran Lake Como di utara Rom ketika polis mahu memberi amaran tentang risiko pokok tumbang di halaman rumahnya susulan angin kencang di Lombardy.

Media tempatan melaporkan Beretta tidak dilihat jiran tetangganya sejak September 2019 dan mereka beranggapan wanita itu mungkin telah berpindah ketika pandemik Covid-19 melanda utara Itali pada 2020.

"Kejadian yang menimpa Marinella Beretta sememangnya menyedihkan. Sebagai komuniti, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengingatinya dan tiada siapa harus ditinggalkan bersendirian sepertinya," kata Menteri Keluarga, Elene Bonetti di Facebook.

Siasatan awal polis mendapati tiada tanda mencurigakan atau berkemungkinan perbuatan jenayah yang menyebabkan kematian wanita tersebut.

Difahamkan, Majlis Perbandaran dijangka membiayai keseluruhan kos upacara pengebumiannya.

"Misteri kehilangan Beretta memberi kita pengajaran besar kepada kita. Kesedihan sebenar adalah bukan orang lain tidak menyedari kematiannya sebaliknya mereka terlepas pandang akan kehadiran wanita berkenaan," sindir akhbar harian Messaggero menerusi laporannya.

Data Institut Statistik Kebangsaan (ISTAT) pada 2018 menunjukkan hampir 40 peratus individu berusia lebih 75 tahun di negara itu tinggal berseorangan kerana tidak mempunyai saudara-mara atau rakan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!