Pelanggan positif, deposit hotel hangus
SELEPAS berakhirnya sekatan pergerakan pada Oktober tahun lalu, sektor pelancongan kembali bernafas, lantaran berdepan dengan pelbagai episod duka setelah hampir dua tahun negara dibadai koronavirus.
Dalam tempoh duka itu, sekurang-kurangnya 120 buah hotel sudah bungkus daripada bisnes perhotelan, sama ada menutup operasi secara penuh atau sementara.
Ini kerana sektor perhotelan terus mencatatkan kerugian besar susulan sekatan rentas negara, negeri dan daerah.
Pada 2020, kadar kerugian hotel adalah sebanyak RM6.3 bilion, manakala tahun lalu, kerugian dalam industri pelancongan di Malaysia terus meningkat kepada RM165 bilion.
Dalam keseronokan pihak industri meraih keuntungan, ada satu kelemahan yang perlu segera ditangani oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Mungkin MOTAC terlepas pandang isu berkenaan atau terpaksa mengalah dengan pemain-pemain industri yang hanya memikirkan keuntungan dalam tempoh pandemik.
Ada satu laporan yang diterima iaitu sekumpulan individu sepatutnya melancong ke Sabah pada Isnin tetapi lebih separuh daripada mereka disahkan positif Covid-19.
Mujur syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia memberikan tarikh baharu untuk pelanggannya terbang ke destinasi pilihan.
Bagaimanapun, sebuah hotel di Kota Kinabalu menegaskan wang deposit hampir RM500 hangus jika membatalkan tempahan pada saat-saat akhir dan menukarkannya pada tarikh baharu.
Situasi itu tidak memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak. Hanya kerana disahkan positif virus yang tidak kelihatan, pelanggan berdepan kerugian yang tinggi.
Mungkin MOTAC perlu melakukan sesuatu dalam menangani isu ini kerana kita bimbang jika ada pesakit yang walaupun disahkan Covid-19, tetap pergi bercuti gara-gara rasa rugi duit hotel hangus.
Jika pihak industri penerbangan boleh memberi pengecualian kepada pesakit Covid-19 yang disahkan melalui MySejahtera, kenapa pemain hotel tidak boleh melakukan perkara yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!