PRN Johor: Adakah berlaku keajaiban elak persaingan tiga penjuru?
PERKEMBANGAN semasa kerjasama antara parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan kemungkinan besar berlakunya persaingan tiga penjuru dan ke atas.
Di blok pembangkang, meskipun Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meminta agar semua parti pembangkang bekerjasama bagi menghadapi PRN tersebut, namun ia dilihat masih tidak mendapat sambutan yang baik.
Malah, pembangkang juga dilihat terpecah kepada dua dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat masih belum memulakan sebarang rundingan konkrit bersama beberapa parti pembangkang lain.
Parti pembangkang lain yang turut berkemungkinan ikut serta dalam PRN kali ini ialah Parti Pejuang Tanah Air ( Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Muda melalui Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Isnin dilaporkan telah membuat perjumpaan bersama Anwar bagi dipercayai bagi membincangkan mengenai strategi untuk menghadapi PRN Johor yang akan datang.
Bagaimanapun, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Selasa mengakui pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk menjalin kerjasama bersama Muda dalam PRN Johor.
Ahli Jerlun itu berkata, meskipun perbincangan tersebut belum dimuktamadkan namun, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penting PRN Johor pada Rabu.
Dalam pada itu, di blok kerajaan, Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dilihat akan terus bergerak secara solo sama seperti pada PRN Melaka sebelum ini.
Usaha Pas untuk memastikan tiadanya pertembungan antara gabungan tersebut dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga dilihat tidak memberikan sebarang hasil yang positif.
Malah, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Selasa turut menyatakan bahawa PRN Johor disifatkan sebagai medan memperkukuhkan kerjasama politik dalam PN.
Dalam pada itu, UMNO juga dilihat terus yakin untuk bergerak solo bersama BN selepas strategi itu dilihat telah memberikan gabungan tersebut kemenangan besar pada PRN Melaka tahun lalu.
Dengan mengambil kira keputusan di Melaka, perpecahan yang berlaku di blok pembangkang termasuk Bersatu yang sebelum ini bersama PH dilihat telah memberikan kelebihan kepada UMNO untuk memperoleh kemenangan yang selesa.
Justeru, menarik untuk melihat kesanggupan kesemua parti politik yang terbabit sama untuk mengambil risiko menjadikan PRN Johor sebagai medan eksperimen untuk menguji kekuatan sokongan gabungan masing-masing atau sebaliknya membuat kejutan dengan mengumumkan kerjasama untuk bersatu menewaskan UMNO dan BN.
SPR dijadual akan mengadakan sidang media mengenai PRN Johor pada 12.30 tengah hari Rabu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, Johor.
Sidang media tersebut dijangka bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!