Lebih takut booster daripada Omicron
RAKYAT Malaysia kini mula rasa panik dan bimbang melihat jumlah kes harian Covid-19 kembali melonjak. Apa tidaknya, sedang kita selesa menikmati ‘kebebasan’, kes baharu Covid-19 pula naik mencanak lima angka setiap hari.
Peningkatan kes berpunca daripada Omicron yang ‘mengganas’ di Malaysia sememangnya sudah dijangka. Malah, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, unjuran kes harian boleh mencapai 22,000 kes menjelang hujung Mac ini sekiranya kadar R-Naught kekal 1.2.
Sebenarnya yang lebih menggusarkan adalah pendedahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa lebih kurang 32 peratus atau sejuta warga emas belum mengambil dos penggalak.
Negara sedang ‘berperang’ dengan Omicron, namun orang tua kesayangan kita masih ramai belum ada ‘perisai’ sedangkan mereka paling berisiko.
Ironinya, isu menolak untuk mengambil booster bukanlah isu baharu. Tidak keterlaluan jika penulis menganggap ia sudah menjadi trend.
Lihat sahaja posting media berkaitan isu dos penggalak. Golongan netizen begitu galak memberi pelbagai komen negatif, malah tidak kurang yang cuba mengaitkan sebagai konspirasi.
Penulis percaya pasti ada dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga kita yang tidak mahu atau melengah-lengahkan untuk mengambil dos penggalak walaupun nama sudah naik di MySejahtera.
Mereka bukan antivaksin, mereka sudah lengkap dua dos vaksin sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), cuma mereka tidak mahu mengambil dos penggalak.
Tindakan segelintir individu yang menyampaikan maklumat tidak tepat adalah antara faktor yang mempengaruhi mereka hingga takut mendapatkan dos tersebut.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin dilaporkan berkata, terpengaruh dengan troll punca ramai tidak ambil dos penggalak.
“Ramai yang terlibat dalam troll mendakwa dos penggalak merosakkan (kesihatan badan).Mereka buat main-main,” kata beliau.
Momokan takut kesan sampingan adalah alasan paling popular. Pelbagai informasi yang tidak pasti kesahihan faktanya berlegar-legar di media sosial, diulang sebar di kumpulan WhatsApp dan tidak kurang juga di kedai kopi.
Maklumat-maklumat inilah yang mempengaruhi orang tua kita sehingga menyebabkan mereka lebih ‘takut' dengan dos penggalak berbanding Covid-19.
Sedangkan, Dr Noor Hisham telah menjelaskan bahawa kadar Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak kurang berbanding keseluruhan rekod dicatatkan sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan.
Beliau berkata, kadar pelaporan AEFI bagi suntikan penggalak adalah 0.1 bagi setiap 1,000 dos, berbanding perangkaan keseluruhan iaitu 0.4 bagi setiap 1,000 dos. Jadi, usaha 12,473,139 individu atau 53.3 peratus daripada populasi dewasa yang telah mengambil dos penggalak setakat Isnin harus dihargai.
Sebagaimana dikongsi Khairy, data harian menunjukkan individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan maut berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak.
Penulis yakin lebih ramai akan ambil dos penggalak selepas kerajaan buat ketetapan sijil vaksin bertukar putih jika individu layak tidak berbuat demikian sebelum 1 Mac ini.
Bagaimanapun, cabaran sebenar kerajaan adalah untuk mengubah minda dan meyakinkan mereka yang masih ragu-ragu itu untuk sukarela mengambil dos penggalak.
Rayuan Menteri Kesihatan meminta tolong maklum kepada ibu bapa kita agar segera ambil dos penggalak kerana kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi jangan dipandang ringan. Demi kesihatan insan tersayang, marilah kita mainkan peranan tersebut.
* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!