Pemilik restoran ditahan kerana pekerja tidak divaksin Covid-19

Notis pemberitahuan tentang larangan kemasukan ke Kafe Topolinis, Warwick, Australia. - Foto Nine News Perth
Notis pemberitahuan tentang larangan kemasukan ke Kafe Topolinis, Warwick, Australia. - Foto Nine News Perth
A
A
A

PERTH - Sebuah restoran masakan Itali yang terletak di pinggir bandar Perth di Warwick, Australia ditutup semalaman oleh pihak berkuasa selepas pemiliknya ditangkap kerana didakwa mempunyai pekerja yang tidak divaksin ketika mengendalikan tempat tersebut pada Isnin.

Pemilik Kafe Topolinis, Jodie Jardine dan anak perempuannya ditahan oleh polis kira-kira jam 6 petang pada waktu tempatan.

Beberapa jam selepas ditahan, Jardine yang sebak dilaporkan berkata, mereka kemudian dihantar semula ke restoran tersebut.

Jardine berkata, beliau perlu mendapatkan peguam dan melihat langkah seterusnya yang perlu diambil olehnya dan memberitahu terdapat 20 pekerja yang bekerja di restoran berkenaan.

Jurucakap polis dilaporkan berkata, pihak berkuasa datang ke restoran itu pada jam 1 petang waktu tempatan ketika ia ditutup selepas orang awam melaporkan terdapat kakitangan di restoran berkenaan yang tidak menerima vaksin.

Kira-kira pada jam 5.30 petang waktu tempatan polis sekali lagi datang ke restoran itu dan mendapati restoran itu dibuka untuk perniagaan.

Ia menyebabkan para pekerja diminta meninggalkannya sebelum restoran tersebut ditutup oleh polis.

Wanita itu telah didakwa kerana melanggar Akta Pengurusan Kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Pemilik bersama resoran itu, Phil Jardine, memberitahu Radio 6PR dan mendakwa 90 peratus kakitangannya tidak menerima vaksin Covid-19. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!