Kebakaran punca IPU tidak sihat di Selangor

Laman Twitter Plus memuatnaik kemas kini mengenai kejadian kebakaran tersebut semalam. - Foto LLM. (Gambar kecil: Norizham)
Laman Twitter Plus memuatnaik kemas kini mengenai kejadian kebakaran tersebut semalam. - Foto LLM. (Gambar kecil: Norizham)
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa kejadian kebakaran yang berlaku semalam dipercayai menjadi antara punca penyebab kualiti udara di Selangor mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.

Menerusi laman rasmi Sistem Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga jam 10 pagi tadi, daerah Banting merekodkan bacaan IPU 102 manakala daerah-daerah lain di negeri ini mencatatkan bacaan sederhana antara 51 hingga 100.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Norizham Mohd Nudin berkata, antara kejadian kebakaran yang agak kritikal berlaku semalam melibatkan kawasan tanah gambut berhampiran Kilometer 28 Lebuhraya Elite arah utara.

"Kebakaran berhampiran lebuh raya berkenaan menyebabkan kesesakan yang teruk disebabkan asap yang tebal dan kualiti udara juga sedikit terjejas berkemungkinan akibat daripada kejadian itu.

"Bagaimanapun, anggota Bomba berjaya memadamkan kebakaran dan mengelakkan ia merebak dan pagi ini juga kami melakukan sekali lagi pemantauan bagi memadamkan saki-baki hotspot di kawasan itu," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, orang ramai dinasihati ter utama pengusaha di sektor pertanian dapat menghentikan sebarang pembakaran terbuka pada musim panas ini bagi menggelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Aktiviti pembakaran sampah haram juga perlu diberi perhatian berikutan kami seringkali mendapat panggilan kecemasan disebabkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini.

"Kebiasaannya, kebakaran seperti ini akan mengambil masa lama untuk dipadamkan dan ia juga dapat memberi kesan buruk terutama kualiti udara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norizham berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan sekiranya berlaku kejadian pembakaran sampah secara haram berikutan ramai anggota perlu dikerahkan ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.

"Jika berlaku kebakaran, balai terlibat akan pergi ke lokasi manakala balai-balai lain terpaksa membantu sekiranya berlaku kecemasan di tempat lain.

"Jadi kejadian seperti ini akan menyebabkan 'response time' meningkat sekiranya berlaku kecemasan lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!