Idea spontan, pesara guru kongsi teknik khas lukisan mural

Minat dan pengalaman banyak membantu Ismail dalam menghasilkan karya-karya lukisannya. - Foto FB Ismail Batik Art Resources
Minat dan pengalaman banyak membantu Ismail dalam menghasilkan karya-karya lukisannya. - Foto FB Ismail Batik Art Resources
A
A
A

TAPAH - Bakat seni dimiliki seorang pesara guru, Ismail Ahmad yang tular di media sosial kini menjadi inspirasi dalam dunia lukisan mural di seluruh negeri.

Video berdurasi empat minit dan 28 saat, memaparkan aksinya yang bersahaja menghasilkan lukisan mural di Sekolah Kebangsaan Satu di sini telah mendapat tontonan lebih 1.5 juta setakat ini.

Bekas guru pendidikan seni berusia 62 tahun itu berkata, lukisan mural berkonsepkan alam semula jadi dengan pemandangan air terjun itu berjaya disiapkan dalam tempoh enam jam sahaja pada 23 Januari lepas.

Menurutnya, lukisan berkenaan dihasilkan dengan teknik asas yang diinspirasikannya sendiri iaitu 'roll and force', menggunakan penggelek (roller) bersama mainan warna-warna cat.

Ismail turut menghasilkan karya-karya lukisan yang sebahagiannya dijual menerusi platform media sosial. - Foto FB Ismail Batik Art Resources
Ismail turut menghasilkan karya-karya lukisan yang sebahagiannya dijual menerusi platform media sosial. - Foto FB Ismail Batik Art Resources

"Teknik roll and force ini saya tak berlajar daripada siapa-siapa, memang saya cipta sendiri dengan niat mahu memudahkan anak-anak murid saya ketika mengajar dahulu.

"Alhamdulillah, dengan teknik itu lukisan mural yang biasanya mengambil masa seminggu untuk disiapkan, boleh siap dalam tempoh satu hari.

"Kalau dulu, anak-anak murid saya ambil masa 13 minit untuk siapkan satu gambaran pokok, dengan teknik ini, satu minit saja dah boleh jadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Anak kelahiran Pulau Pinang yang kini menetap di Kampung Tersusun Muhibbah Batu 33, Temoh di sini berkata, teknik 'roll and force' tidak memerlukannya melukis menggunakan pensil terlebih dahulu sepertimana kebiasaan, sebaliknya hanya melorongkan roller mengikut imaginasi sendiri.

Kaedah itu katanya, bukan sahaja menjimatkan masa, malah hasilnya lebih cantik dan halus berbanding menggunakan berus cat.

"Minat dan pengalaman banyak membantu saya dalam teknik ini. Ketika muda dahulu saya sukakan aktiviti mendaki dan skuba, jadi secara tidak langsung memberi saya inspirasi dalam menghasilkan setiap lukisan mural terutama yang berkaitan pemandangan dan alam semula jadi," katanya yang turut aktif menghasilkan karya lukisan.

Mengulas video tular itu, Ismail yang telah berkhidmat selama 36 tahun dalam dunia pendidikan berkata, ia dirakam secara tidak sengaja oleh guru besar sekolah itu sebelum dimuat naik ke laman sosial oleh rakan-rakan guru yang lain.

Beliau mengakui, terkejut dengan reaksi positif diberikan warganet yang kagum terhadap hasil kerja itu hingga menjadi tagihan ramai pihak yang mahukan hasil seninya menjadi hiasan menceriakan sekolah mereka.

Sebelum ini, Ismail turut berkongsi hasil kerjanya di laman Instagram dan Facebook Ismail Batik Art Resources yang diwujudkan sejak 2019 lalu, namun penularan video terbabit menjadikannya lebih dikenali bukan sahaja kalangan guru dan sekolah tetapi anak-anak muda yang minat dalam bidang lukisan.

"Bagi saya, belajarlah setinggi mana pun tetapi jangan sesekali abaikan kemahiran yang kita ada.

"Lebih-lebih lagi dalam perkembangan dunia teknologi sekarang yang boleh dijadikan platform berkongsi kepakaran dan menjana pendapatan," katanya yang kini sibuk memenuhi tempahan lukisan dari sekolah-sekolah di Johor, Melaka dan Putrajaya.

Foto Facebook Ismail Batik Art Resources
Foto Facebook Ismail Batik Art Resources

Bapa kepada lima anak itu berkata, sokongan kuat keluarga terutama isteri, Jarina Sabri, 56, membolehkan dirinya menerokai lebih jauh minat dan bakat seni yang dimiliki.

Katanya, tiga anak perempuannya kini mengikuti jejak langkahnya mempunyai bakat melukis dan giat membantu serta menjadi pemerhati utama terhadap karya yang dihasilkannya.

"Minat terhadap seni wujud sejak saya kecil lagi, ketika itu saya bercita-cita mahu menjadi pelukis jalanan.

"Apabila berkhidmat sebagai guru, saya jadikan melukis sebagai kerja sampingan, sampailah saya ambil keputusan bersara awal pada usia 57 tahun kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap melukis ini.

"Hasrat saya mahu membuka galeri seni sendiri untuk berkongsi karya-karya saya kepada umum," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!