Dewan Rakyat bahas usul mengutuk serangan di New Zealand
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat meluluskan usul untuk membahaskan insiden serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand.
Usul dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) itu diluluskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof.
Anwar ketika mengemukakan usul, berkata perkara ini perlu dibahaskan segera kerana ia membabitkan kepentingan orang ramai memandangkan insiden ini melibatkan isu umat Islam dan agama lain sehingga mendorong melakukan keganasan dan kekejaman.
"Usul ini sewajarnya perlu disegerakan memandangkan implikasi insiden ini menggugat keharmonian dan keamanan jika tidak dibendung segera," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Mohamad Arif berkata, beliau telah meneliti permohonan usul yang memenuhi kriteria ditetapkan kerana ia membabitkan kes tertentu, berkepentingan awam dan berkehendakkan disegerakan.
Justeru, beliau memberikan tempoh sejam untuk usul itu dibahaskan bermula jam 4.30 petang ini.
Jumaat lalu, dunia dikejutkan dengan tragedi serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand.
Menurut kenyataan terkini polis New Zealand, seramai 50 orang telah terbunuh, dan 50 orang cedera.
Mangsa-mangsa tersebut dibunuh ketika sedang mengerjakan solat Jumaat. Mereka menjadi mangsa hanya semata-mata kerana pegangan kepercayaan mereka. Serangan tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk menanam kebencian dan mendorongkan keganasan di merata dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!