Anwar mengaku Rameli Musa sahabatnya, tapi...
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengakui Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Datuk Dr Rameli Musa merupakan sahabat beliau.
Bagaimanapun katanya, Rameli kemudiannya memilih Pas sebagai pegangan politiknya dan menyokong Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Rameli Musa memang sahabat saya dan kemudian memilih untuk sokong Pas terutamanya Presiden Pas yang sekarang (Abdul Hadi).
"Itu kenyataan," katanya ketika menjawab celahan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang bertanyakan perihal itu, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Anwar terdahulu membahasakan usul junjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.
Rameli yang dilantik menerajui KTM awal Februari lalu dipanggil SPRM berikutan namanya dikaitkan dengan pemberian cek oleh Pas kepada portal Sarawak Report.
Pendedahan dibuat bekas Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli yang mendakwa Rameli sebagai individu bertanggungjawab membuat bayaran kepada blog Sarawak Report.
Ia dipercayai untuk khidmat guaman bagi penyelesaian di luar mahkamah kes saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Rafizi mendakwa, nama bekas Naib Pengerusi Ingress Corp Bhd dan bekas Pengerusi Balfour Beatty Rail itu muncul seelpas analisis ke atas nombor pada cek untuk membayar RM1.4 juta kepada akaun peguam Rewcastle-Brown dilakukan.
Rameli juga pernah menganggotai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) selama beberapa tahun semasa Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!