Perlu penyelesaian lebih konkrit kurangkan harga barang: Ahmad Zahid

Kerajaan diminta supaya menyediakan penyelesaian lebih konkrit dalam usaha untuk mengurangkan harga barangan makanan keperluan rakyat Malaysia. - Gambar hiasan
Kerajaan diminta supaya menyediakan penyelesaian lebih konkrit dalam usaha untuk mengurangkan harga barangan makanan keperluan rakyat Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya menyediakan penyelesaian lebih konkrit dalam usaha untuk mengurangkan harga barangan makanan keperluan rakyat Malaysia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman harga maksimum runcit terbaharu bagi ayam standard yang lebih rendah sebanyak 20 sen dilihat tidak cukup signifikan bagi membantu rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup.

Malah katanya, sehingga hari ini, penurunan ketara terhadap harga barangan di dalam negara juga masih belum dapat dilihat meskipun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

“Sehingga hari ini kita belum lihat penurunan ketara harga barangan. Selain telur, harga ayam bersih standard masih antara RM8 hingga RM9 sekilogram. Begitu juga harga ikan, daging, sayur masih tinggi.

“Justeru, harga telur dikurangkan 20 sen bukan suatu perkhabaran melegakan. Rakyat perlukan sebuah ketetapan yang menyeluruh untuk membantu kehidupan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Bagi menangani kenaikan harga ayam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 31 Januari lalu mengumumkan bahawa harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan sekarang RM9.10 menjadikannya RM8.90.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, tindakan proaktif dengan penetapan terbaharu itu perlu dilaksanakan kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berharap kerajaan dapat melakukan tindakan lebih berani dan berkesan, termasuk menangani isu peningkatan kos pengeluaran barang keperluan yang sering dijadikan punca kenaikan harga barang.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga tentang dakwaan isu 'orang tengah' dan manipulasi bekalan oleh pihak tertentu untuk menetapkan harga tinggi wajar diteliti sebaik mungkin,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, isu tersebut sekiranya tidak ditangani segera dikhuatiri akan terus berlarutan dalam tempoh lama, sekali gus bakal menekan rakyat yang bakal menyambut ketibaan Ramadan dan Aidilfitri.

Tambah beliau, kerajaan perlu menggunakan sebaik mungkin pelbagai akta, peraturan dan undang-undang sedia ada untuk berdepan permasalahan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!