Belum ada laporan AEFI PICKids
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dilaksanakan 3 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, data yang dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat Selasa masih sifar AEFI dengan 43,000 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak.
“Seperti yang dilalui golongan dewasa sebelum ini, kesan sampingan yang mereka terima mungkin ringan sahaja. Ada sedikit bengkak pada tempat yang disuntik, demam dan sebagainya, namun ia akan kembali pulih dalam tempoh dua hari sahaja.
“Kita juga sudah menasihatkan ibu bapa supaya memantau keadaan anak-anak dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu pertama selepas disuntik. Mereka tidak digalakkan melakukan aktiviti lasak kerana bimbang mengalami alergi dan demam berpanjangan.
“Jika perkara ini berlaku, ibu bapa perlu segera ke klinik atau hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan,” katanya pada sesi Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian, pada Selasa.
Dalam usaha memperluaskan pemberian vaksin kepada kanak-kanak, Noor Azmi berkata, KKM akan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di semua sekolah di seluruh negara selewat-lewatnya 14 Februari ini.
Katanya, seramai 50 peratus kanak-kanak dijangka akan menerima suntikan dos pertama di sekolah terpilih pada penghujung bulan ini.
“Jadi, visi ini akan melibatkan agensi-agensi dan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, anak syarikat KKM yang mengendalikan doktor swasta untuk mengambil bahagian.
“Selain itu, ibu bapa juga perlu memberi sokongan dan kerjasama untuk memujuk anak-anak mendapatkan vaksin. Ini penting bagi menjayakan usaha pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 80 peratus kanak-kanak di negara ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!