Tuntutan palsu: Pembantu pegawai khas Exco Pulau Pinang antara direman
GEORGETOWN – Tiga individu termasuk pembantu khas Exco Pulau Pinang direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program membabitkan golongan penjaja yang melibatkan nilai rasuah lebih RM80,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret R Manomani di Mahkamah Majistret di sini, bermula Rabu sehingga 12 Februari depan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.
Difahamkan, siasatan terhadap pembantu khas Exco berusia 42 tahun itu serta dua lagi individu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ketiga-tiga individu termasuk seorang wanita tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Georgetown, di sini pada jam 10.15 pagi tadi dengan berpakaian lokap SPRM.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan enam individu ditahan SPRM pada Selasa selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program membabitkan golongan penjaja melibatkan nilai rasuah lebih RM80,000.
Menurut sumber, keenam-enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!