Tottenham miliki tanggungjawab beli Romero
TOTTENHAM Hotspur mempunyai kewajipan untuk membeli pemain pertahanan Cristian Romero pada akhir musim selepas perjanjian pinjaman awal, kata pengendali Tottenham, Antonio Conte, sambil memuji pemain antarabangsa Argentina itu.
Romero menyertai Tottenham dari Atalanta pada Ogos, dengan kelab Serie A itu mengumumkan perjanjian tersebut sebagai pinjaman sehingga akhir musim.
“Dia dipinjamkan, namun kami mempunyai kewajipan untuk membelinya.
“Romero sesuai untuk Liga Perdana Inggeris. Dia kuat dari segi fizikal dan mempunyai ketangkasan menyaingi lawan selain memiliki personaliti yang baik dalam menguasai bola di padang.
“Walaupun sebagai pemain muda, dia mempunyai pengalaman yang baik, dia kuat. Saya suka dia. Yang pasti, dia mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan,” kata Conte sebelum perlawanan liga menentang Southampton pada awal pagi Khamis.
Pertahanan tengah berusia 23 tahun itu sebelum ini tidak beraksi dalam saingan liga sejak November selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menjalani tugasan antarabangsa.
Namun dia kembali membantu kelab London itu melakar kemenangan 3-1 Tottenham ke atas Brighton & Hove Albion hujung minggu lalu dalam pusingan keempat Piala FA.
Tottenham berada di tempat ketujuh liga dengan 36 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!