MAIK belanja RM20 juta setahun untuk program pendidikan
KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membelanjakan RM20 juta setiap tahun daripada jumlah penerimaan zakat bagi agihan zakat pendidikan kepada lapan kategori asnaf di seluruh Kelantan.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perbelanjaan melibatkan bantuan kewangan kepada penerima seawal umur tujuh tahun sehingga ke peringkat pengajian tinggi melibatkan pelbagai bidang pengajian.
"Ia termasuklah pengajian di peringkat sekolah, pelajar pondok, pengajian tahfiz, pelajar-pelajar kemahiran dan sebagainya.
"Untuk 2021, jumlah perbelanjaan yang telah diagihkan MAIK di bawah golongan asnaf fakir, miskin dan fisabilillah melalui program pendidikan adalah melibatkan perbelanjaan lebih RM21 juta iaitu 13 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan agihan zakat melebihi RM170 juta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIK dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Hotel The Grand Renai di sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Rektor KIAS, Profesor Dr Ab Aziz Mohd Zin yang juga penanda tangan untuk MoU berkenaan.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam juga memberitahu, satu program baharu diadakan iaitu Biasiswa Zamalah Pendidikan melibatkan program penajaan biasiswa kepada pelajar yang telah menerima tawaran dan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Katanya, selaras dengan itu, KIAS menjadi universiti pertama untuk Biasiswa Zamalah Pendidikan berkenaan dan dermasiswa di bawah program Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP) kepada pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian di institusi itu.
"Peringkat dan bidang yang terlibat dalam penajaan biasiswa atau dermasiswa adalah sebanyak 26 bidang iaitu 10 bidang pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 16 lagi di peringkat diploma.
"Ia melibatkan 30 pelajar peringkat diploma, 20 pelajar Diploma Pengajian Turath dan 15 pelajar peringkat ijazah.
"Bantuan kewangan disalurkan melalui KIAS untuk bayaran yuran pelajar dengan baki lebihan akan diberikan kepada pelajar untuk perbelanjaan sara hidup," katanya.
Katanya, peruntukan perbelanjaan bagi penajaan biasiswa ini adalah sebanyak RM660,000 bagi tahun pertama dan tambahan sebanyak RM292,500 untuk tahun berikutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!