'Menganaktirikan budaya tidak patut berlaku'
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sikap sesetengah manusia yang menganaktirikan atau tidak mengambil peduli terhadap budaya kaum masing-masing merupakan satu masalah yang seharusnya tidak boleh berlaku dan perlu dielakkan.
Pengasas Pusaka, Eddin Khoo berkata, perkara tersebut perlu ditangani bagi memastikan budaya yang diturunkan nenek moyang dapat disampaikan kepada generasi yang mendatang.
“Sikap seperti menganaktirikan sebahagian daripada budaya ini merupakan satu masalah. Proses atau ideologi kemurnian sedang berlaku dan merupakan satu cabaran yang utama ketika ini,” katanya dalam satu Program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Program tersebut dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.
Tambah Eddin Khoo, selain ideologi, faktor lain yang menjadi punca kepada kegagalan pemuliharaan kesenian di Malaysia adalah disebabkan cara pemikiran dan gaya hidup seseorang.
“Ideologi banyak membawa kesan buruk kepada seni Melayu yang sangat kaya. Usaha untuk menyatukan budaya Melayu ini hanya ada satu haluan sahaja dan menyebabkan ia agak sukar,” ujarnya.
Mengulas mengenai tujuan beliau memartabatkan tradisi kesenian di Malaysia, Eddin Khoo berkata, beliau tidak akan sesekali membenarkan seni dan tradisi dipinggirkan begitu sahaja.
“Saya tidak akan benarkan terutama oleh mereka yang berkuasa dan mempunyai ideologi untuk menipu kita tentang betapa bermasalah dan rumit masyarakat kita dan sejarah kita.
“Sekarang saya rasa, ideologi kemurnian itu menjadi satu cabaran yang utama. Setiap masyarakat ingin memurnikan diri mereka. Mereka juga cuba mengaturkan mengikut hasrat politik berdasarkan politik semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!