SUV terjunam ke laut: Kes disebut semula 4 April ini

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kes seorang bekas pekerja salon yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar kolej selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terhumban ke laut Januari lepas akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini 4 April depan.

Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan tarikh itu berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya M. Kalaivaanan yang memberitahu mahkamah pihaknya belum lagi menerima laporan bedah siasat ke atas Moey Yun Peng, 20, yang meninggal dunia dalam kejadian itu.

Bekas pekerja salon itu, K. Vaitheswaran, 21, dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Dia yang diwakili peguam S. Parameswaran didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada kira-kira pukul 3 pagi 20 Jan lepas.

Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke laut.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan itu dibacakan kepadanya kali pertama pada 11 Feb dan telah dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin sebelum sebutan kes itu hari ini. Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!