Perdagangan borong, runcit cecah RM1.3 trilion pada 2021
JUALAN perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM120.5 bilion pada Disember, dengan jualan tahunan mencecah RM1.3 trilion pada 2021 dengan pertumbuhan sebanyak empat peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi 2021 disokong oleh perdagangan borong, yang meningkat 6.4 peratus untuk mencapai RM641.8 bilion, diikuti perdagangan runcit yang berkembang sebanyak 4.4 peratus kepada RM533.6 bilion.
Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor merekodkan nilai jualan lebih rendah berbanding 2020, merosot 8.2 peratus kepada RM124 bilion. Bagi perbandingan pra-pandemik, sektor ini masih di bawah paras nilai 2019 dengan pertumbuhan -2.0 peratus.
Peningkatan 3.5 peratus bagi perdagangan borong dan runcit pada Disember disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan sebanyak RM3.0 bilion atau 3.5 peratus kepada RM48.5 bilion.
Pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 3.5 peratus pada Disember 2021 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 6.0 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM18 bilion.
Bagaimanapun, jualan runcit di kedai khusus kekal negatif untuk mencatatkan -3.1 peratus.
Perdagangan borong turut berkembang dengan pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM57.6 bilion pada Disember 2021.
Mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 4.1 peratus disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM0.9 bilion atau 8.1 peratus kepada RM11.5 bilion.
Ini diikuti jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dengan 14.7 peratus untuk merekodkan RM4.7 bilion.
Lain-lain pengkhususan jualan borong turut meningkat 2.3 peratus kepada RM22.5 bilion.
Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, perdagangan borong meningkat 2.2 peratus disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah dengan peningkatan sebanyak 4.4 peratus.
Pertumbuhan 1.5 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 11.7 peratus atau RM0.4 bilion kepada RM3.5 bilion.
Ini diikuti penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal, masing-masing sebanyak 9.8 peratus dan 5.6 peratus.
Bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor merosot -4.5 peratus pada Disember 2021.
Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 8.2 peratus yang disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang bertumbuh 15.2 peratus.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 2.5 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk perjalanan rentas negeri.
Berbanding Disember 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19, perdagangan borong dan runcit meningkat 4.1 peratus.
Mengenai prestasi suku tahunan, peningkatan 5.1 peratus pada suku tahun keempat pada tahun ini bagi perdagangan borong dan runcit adalah didorong oleh subsektor perdagangan borong yang berkembang RM8.2 bilion atau 5.1 peratus kepada RM169.7 bilion.
Ini diikuti perdagangan runcit yang meningkat 5.0 peratus atau RM6.7 bilion untuk merekodkan RM142.6 bilion.
Subsektor kenderaan bermotor turut meningkat 5.3 peratus atau RM2.1 bilion untuk mencapai RM42 bilion pada suku tahun ini.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini melonjak 17.8 peratus. Bagi prestasi berbanding suku tahun yang sama pada 2019, sektor ini bertumbuh 4.6 peratus.
Dalam kenyataan lain, Mohd Uzir berkata, indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat semula 1.4 peratus pada suku keempat 2021, menjadikan pertumbuhan keseluruhan 2021 kepada 2.1 peratus.
Peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang tumbuh 3.7 peratus, diikuti perdagangan runcit yang meningkat 2.0 peratus.
Bagaimanapun, perdagangan borong turun secara marginal -0.03 peratus dalam tempoh yang sama.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum melonjak 16.3 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 136.9 peratus.
Berbanding suku tahun keempat pada 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19, indeks volum bagi sektor ini berkembang untuk merekodkan 2.1 peratus.
"Bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong dan runcit melonjak 15.3 peratus berbanding suku tahun ketiga 2021.
"Semua subsektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu kenderaan bermotor 137.1 peratus, perdagangan runcit 8.5 peratus dan perdagangan borong 6.0 peratus,” katanya.
Ketua Perangkawan turut memaklumkan indeks volum perdagangan borong dan runcit mengakhiri 2021 dengan 124.1 mata, meningkat 2.1 peratus, disokong oleh perdagangan borong dan perdagangan runcit yang meningkat, masing-masing 3.8 peratus dan 3.4 peratus.
Bagi perbandingan sebelum pandemik, sektor ini masih di bawah prestasi 2019 dengan -4.2 peratus, disebabkan subsektor kenderaan bermotor yang jatuh -10.2 peratus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!