PRN Johor: Permohonan undi pos dalam talian dibuka
JOHOR BAHRU - Permohonan undi pos secara dalam talian bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 telah dibuka bermula Rabu hingga 24 Februari.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, permohonan undi pos tersebut untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), dan kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) sahaja.
Menurutnya, permohonan untuk undi pos kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media) akan dimaklumkan kelak.
"Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian (online) melalui laman sesawang MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my/ atau di portal rasmi SPR iaitu https://www.spr.gov.my/.
"Pemohon dinasihatkan agar membuat dua permohonan lebih awal bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan," katanya.
Sebelum itu, pada 2 Febuari lalu, Abdul Ghani dilaporkan berkata, pengundi Johor yang bekerja di Singapura boleh memohon untuk menjadi pengundi pos pada PRN Johor.
Katanya, pengundi berkenaan boleh mengemukakan permohonan dalam tempoh yang akan dimaklumkan SPR selepas mesyuarat khas berhubung PRN Johor pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!