Pengedar dadah curi motor, bawa dadah ditembak polis

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai pengedar dadah, di kawasan kebun pisang Jalan Kampung Bakau, Jumaat lepas.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, suspek berusia 30-an yang cuba menyerang polis menggunakan sebilah parang sepanjang 20 inci, ditembak mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata seorang anggota polis terpaksa melepaskan beberapa tembakan ke arah suspek kerana mengancam keselamatan anggota bertugas.

"Pada hari kejadian, polis telah bertembung dengan suspek yang menunggang sebuah motosikal dilaporkan hilang dan polis cuba menahan suspek namun suspek bertindak melanggar polis untuk melarikan diri ke dalam kawasan kebun pisang.

"Polis kemudian mengejar suspek dan berjaya mendekatinya namun suspek melibas parang ke arah seorang pegawai polis yang cuba menangkap suspek dan sebagai mempertahankan diri suspek ditembak," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nasri berkata pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek menemukan satu beg silang mengandungi 19 bungkusan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 1,052 gram bernilai RM55,000.

"Parang serta motosikal digunakan suspek dirampas, manakala pemeriksaan lanjut polis ke atas badan suspek gagal menemukan sebarang dokumen diri suspek," katanya.

Sehubungan itu, Nasri berkata keluarga suspek diminta tampil berjumpa pegawai penyiasat untuk pengecaman mayat dan bagi membantu melengkapkan siasatan yang dirujuk di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!