Ibu tunggal tinggalkan anak jual sayur ditahan polis
SUNGAI PETANI - Seorang ibu tunggal berusia 39 tahun ditahan polis selepas positif dadah jenis methamphetamine ketika pemeriksaan dijalankan di hadapan sebuah bank di Central Square, Jalan Kampung Baru di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, pihak polis pada awalnya menerima maklumat daripada orang awam yang curiga dengan tindakan wanita terbabit yang sering meninggalkan dua anaknya bersendirian di hadapan bank.
Katanya, sepasukan anggota polis kemudiannya tiba di lokasi pada jam 6.30 petang dan mendapati wanita terbabit bersama anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia setahun berada di hadapan bank berkenaan.
"Susulan itu kita membawa wanita itu bersama dua anaknya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati wanita itu berasal dari Sik dan mendakwa dia meninggalkan anaknya hanya sebentar sahaja kerana mempunyai urusan di sebuah bank.
"Semakan yang dijalankan juga mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan dia positif methamphetamine.
"Dia juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya menjual sayur untuk mencari pendapatan," ujarnya.
Kata Anuar, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1958 manakala dua anaknya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Sejak Selasa, gambar seorang kanak-kanak perempuan menjual sayur setelah ditinggalkan berseorangan oleh ibunya di hadapan bank tular di laman sosial.
Kejadian itu dikatakan kerap kali berlaku hingga menimbulkan curiga kepada orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!