Rokok seludup RM1.5 juta dirampas
IPOH - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 merampas rokok seludup bernilai hampir RM1.5 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pasir Puteh di Ipoh, pada Selasa.
Serbuan sekitar jam 8 malam itu dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak
menerusi Op Kontraban.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pemeriksaan ke atas rumah tidak berpenghuni itu menemui 10,160 karton rokok pelbagai jenama disimpan di setiap bilik.
Menurutnya, hasil risikan mendapati, rumah terbabit dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tanpa cukai.
"Setelah membuat pemantauan selama 24 jam, tiada sebarang individu tampil ke rumah tersebut. Keadaan itu memaksa polis bertindak memecahkan kunci pintu belakang premis berkenaan bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut menemui 199 kotak mengandungi rokok seludup," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan bekalan rokok terbabit cuba untuk diedar di pasaran tempatan.
Katanya, kesemua rampasan bernilai RM1.47 juta itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Ipoh untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!