KUFC baiki jentera serangan sebelum liga bermula

Syamsul Saad
Syamsul Saad
A
A
A

KOTA BHARU - Pengendali Kelantan United (KUFC), Syamsul Saad memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki jentera serangan pasukan itu, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini yang akan bermula Mac depan.

Jurulatih kelahiran Perak itu berkata, ini berikutan kekalahan pasukan itu dalam dua perlawanan pramusim menentang Terengganu FC dan Terengganu FC II minggu lepas.

"Kita lihat ada kelemahan di bahagian tersebut, penyerang memiliki peluang, namun gagal menjaringkan gol sekali gus mengundang kekecewaan kepada pasukan.

"Saya mahu kelemahan ini diatasi sebelum Liga M bermula, kerana jika pasukan terus berada dalam situasi ini ia tidak bagus walaupun pertahanan baik,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Syamsul berkata, dalam perlawanan bola sepak, pasukan tidak boleh terlalu bertahan tanpa menjaringkan gol, kerana taktikal itu akan membunuh pasukan sekiranya pihak lawan mampu merobek benteng pertahanan dalam tempoh 90 minit perlawanan.

"Saya mahu barisan penyerang tidak 'membuang' peluang yang ada untuk menjaringkan gol, mereka perlu serius dalam perkara ini kerana semua pemain berusaha keras mencipta ruang dan peluang menjaringkan gol.

"Dari segi keputusan dua perlawanan itu, ia memang nampak tidak bagus kepada kami, namun saya optimis tempoh yang ada ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan pasukan dan mencari kaedah sesuai untuk diterapkan bagi menghadapi saingan Liga-M musim ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!