Semakan kehakiman Grab cabar cadangan MyCC ditangguh

Mahkamah Persekutuan pada Rabu membenarkan permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menangguhkan pendengaran semakan kehakiman Grab Holdings Inc bagi mencabar cadangan suruhanjaya itu mengenakan denda RM86.77 juta terhadapnya, yang dijadualkan bermula Isnin depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
Mahkamah Persekutuan pada Rabu membenarkan permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menangguhkan pendengaran semakan kehakiman Grab Holdings Inc bagi mencabar cadangan suruhanjaya itu mengenakan denda RM86.77 juta terhadapnya, yang dijadualkan bermula Isnin depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu membenarkan permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menangguhkan pendengaran semakan kehakiman Grab Holdings Inc bagi mencabar cadangan suruhanjaya itu mengenakan denda RM86.77 juta terhadapnya, yang dijadualkan bermula Isnin depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf.

"Kami membenarkan penangguhan sementara pendengaran semakan kehakiman sehingga pelupusan permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu (di Mahkamah Persekutuan).

"Kami menangguhkan prosiding ini sehingga alasan penghakiman Mahkamah Rayuan diberikan kepada MyCC," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Terdahulu, peguam MyCC Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah pihaknya memohon penangguhan kerana badan kawal selia itu belum menerima keputusan bertulis penuh Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran bagi semakan kehakiman tersebut.

"Kami perlu melihat bagaimana alasan penghakiman Mahkamah Rayuan mengendali isu terbabit. MyCC berada dalam kedudukan yang sukar jika pendengaran pada Isnin depan diteruskan sedangkan rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan belum diputuskan,” katanya.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Grab Holdings, membantah permohonan itu memandangkan kes tersebut sudah tertangguh sejak 2019.

Pada 18 Mei 2021, MyCC telah memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Grab Holdings Inc dan anak syarikatnya memulakan semakan kehakiman untuk mencabar cadangan suruhanjaya itu mengenakan denda RM86.77 juta terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 April 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah memberi kebenaran kepada Grab Holdings, GrabCar Sdn Bhd dan MyTeksi Sdn Bhd untuk memulakan semakan kehakiman terhadap cadangan MyCC mendenda mereka yang didakwa menyalahgunakan kedudukan dominan mereka.

Mahkamah Rayuan telah memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit semakan kehakiman itu.

Hanipah telah membenarkan rayuan Grab dan dua anak syarikatnya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memihak kepada mereka.

Susulan itu, MyCC memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung beberapa persoalan undang-undang yang didakwa syarikat terbabit adalah penting dan mempunyai kepentingan awam.

MyCC mendakwa Grab telah menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya yang menghalang mereka daripada mempromosi pesaing semasa dan berpotensi syarikat itu di platform e-hailing serta media iklan dalam transit.

Grab dan kedua-dua anak syarikatnya gagal dalam permohonan bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tindakan itu adalah pramatang kerana keputusan mengenai cadangan denda belum dimuktamad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!