Kerajaan negeri campur tangan isu parkir HRPB

Rungutan yang ditimbulkan pengguna di Facebook mengenai masalah parkir di HRPB.
Rungutan yang ditimbulkan pengguna di Facebook mengenai masalah parkir di HRPB.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini berhubung isu parkir bertingkat di hospital itu yang didakwa hanya untuk kegunaan kakitangan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu perbincangan dengan pihak pengurusan hospital berkenaan akan dibuat oleh kerajaan negeri bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan penyelesaian.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius masalah itu dan mengarahkan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun untuk melihat isu berkenaan.

"Kita kena tanya pihak hospital (isu parkir bertingkat) sebab itu tempat dia. Kami pun tidak dimaklumkan tentang itu. Cuma apabila dikatakan rakyat merungut, sudah tentu kita kena campur tangan untuk bertanya kepada mereka apa yang terjadi.

"Saya setujulah yang tujuannya sebelum ini ialah untuk mengelakkan parkir yang berada di luar hospital itu dan saya minta Exco berkaitan melihat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Ipoh Walkable City di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Mohd Zolkafly dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beberapa hari lalu, masalah mengenai parkir di HRPB mendapat perhatian di media sosial berikutan pengunjung hospital tersebut mempersoalkan bangunan baharu yang menyediakan parkir bertingkat tidak boleh digunakan dan meminta pihak kerajaan negeri menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sekian lama itu.

Sementara itu, Saarani menyambut baik komitmen MBI dalam merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasrat itu selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang ingin melihat kesemua 154 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini melaksanakan inisiatif-inisiatif ke arah bandar raya rendah karbon.

Beliau berkata, Pelan Tindakan Walkable City atau Bandar Mesra Pejalan Kaki pula disediakan di kawasan khas Pekan Ipoh, selaras dengan Bandar Pelancongan Warisan.

"Objektif pelan tindakan ini adalah untuk menambah baik kawasan persekitaran dengan menyediakan kemudahan laluan pejalan kaki dan laluan basikal yang kondusif, mencukupi dan berkesinambungan bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti alternatif kepada komuniti setempat.

"Ia juga mengekalkan nilai warisan bandar di samping menyokong pertumbuhan pembangunan yang mementingkan alam sekitar, teknologi hijau dan rendah karbon bagi meningkatkan nilai tambah dan daya tahan bandar," katanya ketika berucap ketika pelancaran tersebut.

Menurutnya, pelan itu nanti juga akan menghidupkan semula bandar raya Ipoh dengan merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan interaksi masyarakat dengan persekitaran.

Pada majlis itu, Saarani turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX.

Selain itu, beliau turut menyaksikan MoU antara MBI dan Maju Perak Holdings Berhad - United Solar JV Bagi pemasangan Solar di Pasar Ayam Amanjaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!