Kerajaan beri subsidi ayam 60 sen sekilo kepada penternak

Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM). (Gambar kecil: Ronald)
Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM). (Gambar kecil: Ronald)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan juga akan memberi subsidi lima sen sebiji kepada pengeluar dan penternak untuk semua jenis kategori telur.

Menurutnya, tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

"Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

"Anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi.

"MAFI berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat mampu membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!