Komuniti global perlu bantu jadikan industri minyak sawit lebih lestari

Willie
Willie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komuniti global perlu menawarkan bantuan kepada industri minyak sawit sekiranya mereka mahu pengeluar menghasilkan minyak sawit yang lebih lestari, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin.

Menurutnya, tidak adil jika komuniti antarabangsa hanya tahu memberi tekanan, mengutuk dan mengkritik industri, mereka sepatutnya memberi bimbingan serta sumber bagi industri itu berkembang secara mampan.

"Jika masyarakat global mahu kita menghasilkan minyak kelapa sawit yang lestari, mereka sewajarnya membantu dan memberikan kita ruang untuk menjadi lebih mesra alam.

"Untuk menjadi lestari, ia memerlukan masa. Banyak perkara yang terlibat dalam proses itu dan semuanya penting semasa proses tersebut. Kita perlu bekerjasama," katanya pada sesi soal jawab semasa perdebatan kelestarian kelapa sawit@Dubai yang juga disiarkan melalui Zoom pada Rabu.

Beliau berkata, Malaysia telah bekerja keras serta melibatkan pakar-pakar global untuk memastikan dan membuktikan bahawa produk minyak sawit negara ini adalah sihat, penuh dengan nutrien selain ditanam secara lestari.

"Tetapi kita terus-menerus diserang dengan tuduhan bahawa kita menggunakan buruh paksa dan kanak-kanak. Piawaian kelestarian sendiri sering diubah dan jika komuniti global terus mengenakan lagi (peraturan dan sebagainya), saya khuatir ikhtiar kita untuk memuaskan hati semua orang tidak akan dapat dipenuhi,” katanya.

Malaysia dan pengeluar minyak sawit lain sepatutnya diberi perdagangan yang adil dan diperlakukan secara saksama memandangkan industri itu amat penting dan menyumbang dengan ketara kepada negara.

Menurut Willie lagi, industri ini pada dasarnya menyediakan mata pencarian kepada kira-kira 700,000 pekebun kecil dan menyumbang 20 hingga 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Alternatif atau menggantikan minyak sawit dengan tanaman lain seperti bunga matahari, contohnya, tidak akan mampan kerana ia memerlukan lebih banyak kawasan tanah dan hasilnya adalah 10 kali lebih rendah.

"Kebenaran mengenai industri ini perlu diberitahu. Kita tidak berminat untuk melawan pengeluar minyak boleh dimakan yang lain tetapi kita boleh bekerjasama dan saya menggesa masyarakat global untuk memperlakukan kita secara lebih sama rata," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, Willie berkata, Malaysia akan melancarkan Piawaian Sijil Minyak Sawit Minyak Malaysia (MSPO) yang disemak semula menjelang Mac depan.

Beliau berkata, piawaian yang disemak itu akan merangkumi penambahbaikan mengenai perkara yang berkaitan dengan amalan sosial dan buruh yang baik, nilai pemuliharaan yang tinggi (HCV), penilaian kesan sosial (SIA) termasuk pengiraan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Sejak pengenalan pertama pada 2013, piawaian MSPO telah disemak semula bagi mengurangkan kekaburan dan meningkatkan kredibiliti untuk pengiktirafan antarabangsa.

Sehingga 31 Disember 2021, Malaysia telah mencapai 92 peratus kawasan penanaman kelapa sawit dan 97 peratus kilang minyak sawit yang diperakui. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!