Sinar Harian menang Anugerah Media Dalam Talian Terbaik
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sinar Harian memenangi Anugerah Media Dalam Talian Terbaik bagi kategori Organisasi Media Agrobank Spotlight Award 2021.
Anugerah penghargaan Agrobank itu disampaikan sebagai tanda menghargai sokongan dan pencapaian liputan media kepada bank tersebut sepanjang tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank memperkenalkan dua kategori anugerah penghargaan bagi meraikan organisasi dan pengamal media yang banyak membuat liputan berkaitan Agrobank.
Ujar beliau, ia sekaligus telah menyumbang kepada kejayaan Agrobank bagi tahun lepas.
"Empat orang rakan wartawan dan empat organisasi media ini membawa pulang anugerah 'Agrobank Sidekick Salute Award' dan 'Agrobank Spotlight Award' yang diperkenalkan khusus untuk menghargai pengamal media dan organisasi media.
"Pemilihan penerima anugerah ini dibuat berdasarkan Laporan Liputan Media Tahunan 2021 yang dikendalikan oleh agensi penganalisis media bertauliah pada akhir tahun lalu.
"Agrobank berasa cukup berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pengamal media serta organisasi media yang telah memberikan sokongan secara berterusan menerusi penulisan dan penerbitan bahan berita berkaitan Agrobank di pelbagai medium dan platform sepanjang tahun 2021, khususnya dalam mengharungi tempoh getir ketika penularan pandemik Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Malam Penghargaan Media Agrobank 2021 di The Westin Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah Agrobank Spotlight itu diterima oleh Produser Program Sinar Harian, Mohd Fazli Zainul Abidin sebagai wakil.
Organisasi media yang memenangi anugerah tersebut turut menerima baucar makanan, plak dan sijil penghargaan beserta cenderahati.
Sementara itu, wartawan Sinar Harian, Norshahzura Mat Zuki turut memenangi anugerah Agrobank Sidekick Salute Award 2021 bagi kategori wartawan.
Penerima anugerah berkenaan membawa pulang hadiah berupa kepingan emas, plak, cenderahati dan sijil penghargaan.
Dalam pada itu, acara berkenaan dihadiri seramai 40 rakan wartawan dan pengamal media daripada 15 organisasi media daripada pelbagai platform.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!