PRN Johor: Rundingan kerusi Muda-PKR belum muktamad
JOHOR BAHRU - Rundingan pembahagian kerusi antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum dimuktamadkan.
Biro Politik Muda dalam satu kenyataan pada malam Rabu memberitahu, pihaknya mencadangkan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN tersebut.
"Ketiga-tiga kerusi ini bukan kerusi yang telah dimenangi atau ditandingi PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Muda menghormati hak rakan-rakan PKR untuk mempertahankan kerusi sedia ada.
"Namun begitu, PKR belum lagi memberikan kata putus berkenaan tiga kerusi tersebut. Muda yakin dan percaya bahawa atas semangat kebersamaan dan demi rakyat Johor, satu rundingan yang telus dan jujur perlu dibuat. Muda juga mencadangkan setiap intipati rundingan diselesaikan bersama secara sulit sebelum diumumkan kepada pihak media atas semangat ketelusan bersama," menurut kenyataan tersebut.
Pada Rabu, Muda memaklumkan akan bertanding enam kerusi DUN dalam PRN tersebut hasil rundingan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh pula berkata, pihaknya menawarkan tiga kerusi untuk Muda dan juga menyatakan masih menunggu maklum balas parti tersebut.
Mengulas lanjut, Muda memaklumkan, pihaknya menjalani beberapa siri rundingan bersama PKR, DAP dan Amanah berhubung pembahagian kerusi sebelum ini.
Menurut Muda, rundingan pertama dibuat melibatkan wakil keempat-empat parti berkenaan.
"Menerusi rundingan bilateral, Muda serta rakan-rakan daripada DAP dan Amanah mencapai persetujuan dan membuat pengumuman bersama pada hari ini," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!