Perang PRN Johor bermula 12 Mac depan
KINI tumpuan seluruh rakyat Malaysia akan beralih kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan dilaksanakan pada 12 Mac depan.
Pilihan raya itu akan membuka tirainya pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pada 8 Mac.
Seramai 2,597,742 pengundi layak bakal mengundi pada tarikh tersebut yang melibatkan 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15.
Dalam pada itu, SPR menganggarkan peruntukan sebanyak RM96 juta diperlukan bagi PRN Johor ke-15.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, seramai 49,290 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Johor melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambahnya, secara keseluruhannya jumlah pusat mengundi sebanyak 1,084 buah dengan 4,720 saluran.
Pada masa sama, permohonan undi pos secara dalam talian bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada PRN Johor ke-15 telah dibuka bermula Rabu hingga 24 Februari.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, permohonan undi pos tersebut untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), dan kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) sahaja.
Menurutnya, permohonan untuk undi pos kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media) akan dimaklumkan kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!