Tanah liat alternatif baharu hasilkan batik di Terengganu

Tiga usahawan batik Norazizah (kanan), Mohd Shawal dan Suhaila menunjukkan batik 'clay marble', batik 'skrin marble dan clay' dan batik 'skrin marble' yang dihasilkan mereka semasa ditemui di Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Chendering pada Rabu. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu bersama 16 usahawan bimbingannya berjaya menghasilkan produk baharu batik menggunakan tanah liat sebagai alternatif kepada penggunaan lilin bagi membuat lakaran motif batik.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Fazlin Mohamad Zaki berkata, produk baharu batik itu dikenali sebagai 'clay marble', 'skrin marble and clay' dan 'skrin marble'.

Menurutnya, kesemua produk tersebut akan dipamerkan dan dijual buat pertama kalinya di Festival Kraf Tekstil Pantai Timur dari 17 hingga 26 Februari di Kuantan, Pahang dan Hari Kraf Kebangsaan bermula 23 Februari hingga 7 Mac depan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

"Tanah liat yang digunakan adalah bahan yang sama untuk penghasilan produk tembikar dan seramik. Ia adalah bahan alternatif kepada bahan penghalang warna dalam penghasilan batik kaedah tradisional selama ini iaitu campuran lilin,” katanya kepada Bernama di sini.

Usahawan batik, Norazizah menghasilkan motif batik dengan teknik 'clay' atau tanah liat bagi menghasilkan batik 'clay marble', batik 'skrin marble dan clay' dan batik 'skrin marble' di Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Chendering. - Foto Bernama

Katanya, penggunaan tanah liat untuk lakaran motif batik itu merupakan inovasi baharu Kraftangan Malaysia sebagai alternatif penghasilan batik yang lebih jimat dan mudah dikendalikan.

Sementara itu, beberapa usahawan yang ditemui Bernama berpendapat, penggunaan tanah liat lebih mudah berbanding campuran lilin dan damar.

Norazizah Kasim, 43, berkata, tanah liat lebih mudah didapati di pasaran, harganya lebih rendah dan proses penghasilan batik boleh dilakukan dalam suasana yang lebih selesa tanpa perlu berdepan bahang api seperti teknik campuran lilin dan damar.

"Blok batik hanya perlu dicelup sebentar dalam bancuhan tanah liat, dan kemudiannya diterap pada kain dan dibiarkan sehingga kering, sebelum proses mewarna dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan tanah liat ini tidak memerlukan pekerja mahir untuk melakukannya kerana dengan sedikit kreativiti sahaja, lakaran batik yang cantik sudah boleh dihasilkan,” katanya yang memfokuskan kepada teknik tie dye selama ini melalui syarikatnya, Gee Batik Collections.

Suhaila (kanan), Norazizah dan Mohd Shawal menunjukkan demontrasi penghasilan batik yang menggunakan teknik 'clay' atau tanah liat bagi menghasilkan batik 'clay marble', batik 'skrin marble dan clay' dan batik 'skrin marble' di Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Chendering pada Rabu. - Foto Bernama

Katanya, antara jualan batik yang dijangka mendapat sambutan hangat dalam dua festival itu nanti ialah kemeja, blaus, seluar palazo, tudung, baju kelawar dan jubah.

Bagi Mohd Shawal Awi, 37, pula katanya, teknik penggunaan tanah liat sangat sesuai untuk generasi muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam penghasilan batik, kerana jika terdapat kesalahan dalam proses terapan, ia boleh dipadam dan tidak berlaku sebarang pembaziran kain.

"Itu keunikan guna tanah liat, sesiapa pun boleh belajar dan tidak perlu risau risiko kain yang membazir akibat kesalahan, ketika proses menerap blok batik. Paling penting, proses pembuatannya adalah sangat selesa dan selamat,” katanya yang terkenal dengan pelbagai rekaan batik untuk golongan lelaki.

Seorang lagi usahawan batik, Suhaila Muda, 41, berkata, penggunaan tanah liat juga lebih mudah kerana tidak lagi perlu melalui proses merebus kain untuk membuang campuran lilin dan damar.

"Sebaliknya, kain hanya perlu dibasuh sahaja dan dijemur untuk proses mewarna pula dan ia lebih menjimatkan masa dan kos bahan api untuk proses merebus,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!