Keladi tular inspirasi karya Cikgu Saribunis

Cikgu Mohd Saribunis bersama salah satu karya lukisan keladi tular yang dihasilkan.
Cikgu Mohd Saribunis bersama salah satu karya lukisan keladi tular yang dihasilkan.
A
A
A

KUANTAN - Minatnya terhadap tanaman keladi hiasan terutama keladi hibrid yang tular di laman sosial mendorong guru pendidikan seni dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis ini mengabadikan keindahan dan keunikan tanaman itu di atas kanvas.

Kepelbagaian warna, bentuk dan corak daun-daun keladi hiasan itu menarik perhatian Cikgu Mohd Saribunis Mohd Sakri, 46, sehingga tanaman itu kini dijadikan tema karya lukisannya.

Dengan bakat seni dimiliki, gambar-gambar tumbuhan itu yang diperoleh melalui internet diterjemahkan menjadi lukisan indah untuk tatapan sendiri pada awalnya.

"Saya memang minat dengan tumbuhan ini terutama jenis hibrid dari Thailand, namun agak sukar diperoleh selain harga yang mahal.

Cikgu Mohd Saribunis bersama salah seorang peminat tanaman keladi yang membeli hasil lukisannya.
Cikgu Mohd Saribunis bersama salah seorang peminat tanaman keladi yang membeli hasil lukisannya.

"Jadi saya cuba lukis untuk tatapan sendiri sementara cuba mendapatkan tumbuhan itu sebagai koleksi," katanya.

Menggunakan medium cat akrilik pada lukisannya, Mohd Saribunis yang berasal dari Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan telah menghasilkan beberapa karya dalam tempoh tiga bulan ini.

Ternyata, 'kegilaan' orang ramai terhadap tanaman keladi hiasan ketika ini menyebabkan lukisannya juga menjadi rebutan hingga semuanya habis dijual.

Artikel Berkaitan:

"Semuanya di luar jangkaan. Tak sangka ramai pula yang minat dengan lukisan keladi ini terutama dalam kalangan peminat tanaman itu sendiri.

"Sekarang pun sudah ramai yang membuat tempahan untuk mendapatkan lukisan bertemakan keladi ini.

Antara lukisan bertemakan keladi tular yang dihasilkan.
Antara lukisan bertemakan keladi tular yang dihasilkan.

"Bagi saya sendiri, pulangan keuntungan dari jualan hasil seni ini bukan keutamaan, namun yang paling penting adalah kepuasan," katanya lagi.

Menyentuh tentang jenis keladi yang diminati, Mohd Saribunis berkata, setiap jenis tumbuhan itu ada keunikan tersendiri baik yang tumbuh liar atau hibrid.

"Cuma keladi tempatan ini banyak dan mudah diperoleh berbanding keladi hibrid dari luar negara.

"Saya sendiri cukup terpesona dengan tanaman ini terutama jenis Keladi Emas 916 dan Albino yang bukan sahaja cantik tapi bernilai tinggi," katanya.

Lukisan karya Cikgu Mohd Saribunis bertajuk 'Caladium Viral' yang sudah terlepas ke tangan pembeli.
Lukisan karya Cikgu Mohd Saribunis bertajuk 'Caladium Viral' yang sudah terlepas ke tangan pembeli.

Menurutnya, menghasilkan sesebuah lukisan bertemakan keladi itu memerlukan ketelitian dan konsentrasi supaya warna dan kehalusan coraknya dapat digambarkan dengan lebih terperinci dan nampak hidup.

"Selalunya saya melukis pada waktu malam dan setiap lukisan mampu disiapkan mengambil masa sehari hingga dua hari memandangkan waktu siang sibuk dengan tugas hakiki sebagai guru.

Karya Cikgu Mohd Saribunis mendapat tempat dalam kalangan peminat lukisan terutama peminat tanaman keladi hiasan.
Karya Cikgu Mohd Saribunis mendapat tempat dalam kalangan peminat lukisan terutama peminat tanaman keladi hiasan.

Bapa kepada empat anak ini berkata, minatnya terhadap lukisan timbul sejak di bangku sekolah lagi dan mula serius menghasilkan lukisan sekitar 12 tahun lalu.

"Sebenarnya saya tiada genre khusus dalam berkarya, apa sahaja saya lukis termasuk potret dan pemandangan sebelum beralih kepada keladi ketika ini," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!