Chin Chye selesa dipanggil 'Pak Ngah'
MELAKA - Biarpun berbangsa Cina namun anak jati kelahiran Merlimau Pasir, Jasin, Choo Chin Chye, 63, selesa dipanggil 'Pak Ngah' dalam kalangan penduduk setempat.
Chin Chye, 63, bertugas sebagai Jaksa Pendamai berkata, hubungan dia dengan masyarakat kampung begitu akrab terutama orang Melayu sehinggakan ada rakan-rakan memberikan namanya Mohd Sharif Abdullah.
Menurutnya, pergaulan dengan masyarakat tanpa mengira bangsa di samping menguasai bahasa rasmi negara penting untuk memupuk semangat perpaduan biarpun dalam kehidupan norma baharu.
Katanya, adakalanya dengan rakan berbangsa Cina dia juga berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa ibunda.
"Sejak kecil mendiang bapa saya Choo Kim Yam sentiasa menasihatkan saya untuk bercampur gaul dengan masyarakat, lagipun perbezaan agama bukan alasan untuk kita tidak bersatu hati.
"Kerana itu juga saya menjadikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebagai idola sejak beliau menjadi Ketua Menteri hingga sekarang kerana perwatakannya mudah mesra dengan masyarakat berbilang bangsa walaupun ramai lagi tokoh negarawan berketurunan Cina," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Chin Chye berkata, hubungan rapat dengan masyarakat Melayu terutama Yang di-Pertua Negeri dapat dilihat pada sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru apabila kediamannya turut dihadiri Mohd Ali dan rakan Melayu lain.
Dalam pada itu, dia juga menggalakkan anak-anaknya untuk bergaul dengan masyarakat lain sama ada dalam aktiviti sukan, program masyarakat dan sebagainya.
Ujarnya, walaupun ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 namun apa yang berlaku sebagai satu hikmah untuk rakyat terus bersatu padu dan membantu antara sama lain tanpa melihat bangsa.
"Saya harap negara terus aman dan rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India bersama memupuk perpaduan kaum," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!